Press Statements & Articles

Persatuan gereja tidak iktiraf perkahwinan Jessie dan Joshua

Description: Persatuan Gereja Evangelical Malaysia hari ini membuat keputusan tidak mengiktiraf perkahwinan pasangan sejenis, Jessie Chung dan Joshua Beh Soo Kiang, yang berlangsung di Sarawak, Sabtu lepas.

Persatuan gereja tidak iktiraf perkahwinan Jessie, Joshua

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Persatuan Gereja Evangelical Malaysia hari ini membuat keputusan tidak mengiktiraf perkahwinan pasangan sejenis, Jessie Chung dan Joshua Beh Soo Kiang, yang berlangsung di Sarawak, Sabtu lepas.

Setiausaha Agung persatuan itu, Reverend Wong Kim Kong berkata, perkahwinan pasangan itu bertentangan dengan ajaran Kristian.

Katanya, mengikut ajaran kitab Injil, Tuhan tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis, kerana setiap sesuatu itu dijadikan berpasang-pasangan.

``Kitab Injil mengajar penganut Kristian bahawa Tuhan menjadikan setiap makhluk itu dalam dua jantina iaitu lelaki dan wanita,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perkahwinan pasangan sejenis itu yang turut tidak diiktiraf oleh undang-undang di negara ini.

Jessie yang dilahirkan sebagai seorang lelaki telah menjalani pembedahan menukar jantina tiga tahun lalu.

Jessie dan Joshua telah melangsungkan perkahwinan mereka di sebuah hotel terkemuka di Kuching dengan dihadiri oleh kira-kira 800 rakan dan saudara-mara.

Tiga pastor dari Bountiful Harvest, Shepherd's Centre dan Assembly of Love telah menyempurnakan majlis perkahwinan mereka.

Perkahwinan pasangan Jessie dan Joshua, seorang akauntan dari Ipoh juga dikatakan mendapat restu daripada ibu bapa mereka yang turut menandatangani dokumen perkahwinan mereka.

Jessie yang terlatih dalam bidang terapi pemakanan, kini mengendalikan perniagaan ladang kesihatan semulajadi di Kuala Lumpur dan Kuching.

Ketika ditanya bahawa perkahwinan pasangan itu telah disempurnakan oleh tiga pastor dari Bountiful Harvest, Shepherd Centre dan Assembly of Love, Reverend Wong berkata, persatuan itu tidak mengiktiraf ketiga-tiga gereja itu.

``Kami tidak mengiktiraf ketiga-tiga gereja itu kerana mereka tidak mengikut ajaran Kristian yang sebenar.

``Ketiga-tiga gereja itu tidak mendaftar dengan persatuan kami,'' katanya.

Perkahwinan pasangan itu juga dikatakan mendapat restu Gereja Charismatic dari Semenanjung.

Walaupun menerima tentangan daripada pihak gereja dan perkahwinan mereka tidak diiktiraf oleh undang-undang, namun pasangan itu tidak berhasrat meninggalkan negara ini.



[ Back ] [ Print Friendly ]